Friday, October 30, 2009

Imam As-Syafie (2).

Imam Ahmad Bin Hanbal pernah mengatakan bahawa Rasulullah pernah menyatakan bahawa Allah s.w.t. akan menurunkan seorang yang membawa pembaharuan dalam agama dalam masa tiap?-tiap seratus tahun. ?Umar Bin Abdul Aziz diutus untuk seratus tahun yang pertama, dan aku berharap untuk abad kedua adalah Imam Syafie sendiri?, katanya. Demikian pendapat daripada Imam Ahmad Bin Hanbal sendiri sebagai mencerminkan kebesaran dan keutamaan Imam As Syafie.


Imam Syafie dilahirkan di Gazza, Palestin pada tahun 105 H menurut pendapat yang termasyur. Adapun salasilah keturunan Imam Syafie adalah Abdullah Bin Idris bin Al Abbas, Uthman Bin Syafii Bin Ubaid Bin Abu Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Muttalib Bin Abdul Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Rasulullah pada datuk Rasulullah, Abdul Manaf. Kerana itulah Imam Syafie diberi gelar dengan anak paman Rasulullah. Ayah beliau meninggal dunia ketika beliau masih kecil, lalu dibawa oleh ibunya ke Mekah ketika berumur dua tahun, hidup sebagai anak yatim.

Ketika mudanya Imam Syafie hidup dalam keadaan miskin sehingga beliau terpaksa mengumpulkan batu-batu, tulang belulang dan pelepah tamar untuk dijadikan catatan, dan kadang-kadang beliau pergi ke tempat orang banyak berkumpul, meminta kertas guna menyalin pelajaran. Beliau mampu menghafal Al Quran juga menghafal dan menulis hadis ketika kecil lagi. Beliau sangat tekun mempelajari kaedah-kaedah nahu saraf dan untuk itu pernah mengembara dan tinggal bersama kabilah Huzail lebih kurang selama 10 tahun. Kabilah Huzail itu terkenal paling baik bahasa Arabnya dan beliau banyak menghafal syair-syair kabilah tersebut.

Walaupun Imam Syafie pada waktu mudanya banyak mempelajari bahasa Arab tetapi Allah menempatkan beliau dalam keadaan yang menyebabkan beliau mendalami ilmu fiqh. Menurut satu riwayat bahawa pada suatu hari Mas'ab mendapati Imam Syafie sedang mempelajari syair dan nahu lalu bertanya, ?Untuk apakah ini? Jika engkau mempelajari fiqh dan ilmu hadis tentu lebih sesuai untukmu.? Pada kali yang lain Mas'ab datang menemui Imam Malik meminta supaya beliau bersedia mengajar Imam Syafie. Dengan demikian Imam Syafie dapat mempelajari banyak sekali ilmu pengetahuan dari Imam Malik, seolah-olah tidak satu ilmu Imam Malik yang diperdapatnya dari guru-gurunya di Madinah dibiarkan berlalu demikian sahaja oleh Imam Syafie. Kemudian beliau mengembara ke Iraq, belajar dengan Muhammad AI Hassan.

Satu lagi riwayat yang jelas ialah bahawa Imam Syafie juga belajar di Mekah sebelum menemui Imam Malik. Di Mekah beliau menjadi seorang yang pintar dan dipercayakan oleh gurunya iaitu Muslim bin Khalid Az-Zinji untuk memberi fatwa. Walaupun demikian beliau merasa belum puas dengan ilmu yang telah dimiliki itu, lalu berpindah belajar ke madinah dengan Imam Malik. Di sana Imam Syafie dapat menghafal seluruh isi kitab Al Muwattha' berkat dorongan yang diberikan oleh Imam Malik dengan mengatakan bahawa yang Allah telah menyinari hati beliau dengan nurNya dan jangan nur itu dipadamkan dengan berbuat maksiat. Imam Syafie giat sekali mempelajari fiqh dan hadis sampai Imam Malik meninggal dunia pada tahun 170 H.

Setelah Imam Malik meninggal dunia, Imam Syafie yang ketika itu masih lagi dalam lingkungan usia remaja, ingin pula mencari pekerjaan untuk mengatasi kemiskinannya. Ketika Gabenor Yaman datang berziarah ke Hijjaz, dia diserahkan oleh beberapa orang Quraisy supaya mengangkat Imam Syafie bekerja di Yaman. Beliau akhirnya bekerja di Najran dan di sebabkan ketinggian akhlaknya Imam Syafie telah mendapat kepercayaan Gabenor.

Pada suatu hari Imam Syafie dituduh bersubahat dengan sepuluh orang penyokong Umawiyin yang membantah perlantikan Khalifah. Semua yang tertuduh itu diperintahkan oleh Khalifah Harun Al Rasyid supaya dihadapkan kepadanya untuk dihukum dengan memukul tengkuk masing-masing.Ketika sampai pada giliran Imam Syafie, beliau berkata, ?Perlahan sedikit hai Amirul Mukminin. Tuan adalah berkata, yang menyuruh datang sedangkan aku adalah orang yang disuruh datang. Tentu saja tuan boleh berbuat apa pun, sedangkan aku tidak dapat berbuat apa pun. Hai Amirul Mukminin, ada dua orang, yang satu menilai aku sebagai saudaranya sedangkan yang lain menganggap aku adalah hambanya, menurut pendapat tuan manakah yang lebih sayang kepadaku??.

Tentu orang yang mengaggapmu sebagai saudaranya,? jawab Al Rasyid. ?Engkau seharusnya demikian wahai Amirul mukminin!? sambung Imam Syafie lagi. ?Kenapa?? Tanya Al Rasyid. Beliau lalu menjelaskan, ?Engkau adalah anak Al Abbas. Al Abbas anak Ali. Dan kami dari keluarga bani Al Muttalib. Maka kamu harus memandang kami sebagai saudaramu. Sedangkan orang-orang Umawiyin memandang kita sebagai hamba sahaya.? Dengan lega Al Rasyid berkata ?Wahai anak Idris, sampai berapa jauhkah ilmumu tentang AI Quran?? ?AI Quran dari segi apa yang tuan maksudkan? ? tanya Imam Syafie kembali. ?Dari segi hafalan,? kata AI Rasyid lagi.

Imam Syafie menjelaskan, ?Aku telah menghafal AI Quran keseluruhannya. Aku telah mengetahui tempat perhentian dan tempat memulai membacanya. Aku mengetahui mana nasakh dan mana pula mansukhnya, mana yang gelap dan mana yang terang, ancaman dan pujukan dan aku mengetahui pula mana yang ditujukan kepada hal-hal yang khusus dan mana pula yang ditujukan kepada hal-hal yang umum, serta mana pula yang diungkapkan dengan kata-kata yang khusus tetapi maksudnya umum.?

Setelah bersoal-jawab dengan Khalifah nampaklah oleh Khalifah Al Rasyid akan kepintaran Imam Syafie yang luarbiasa lagi mengkagumkan hingga akhirnya Al Rasyid bertanya, ?Apakah yang akan engkau nasihatkan kepada Amirul Mukminin?? Imam Syafie lalu menjawab menasihatinya dengan suatu nasihat yang berasal dari Tawus Al Yamani yang sangat berkesan sekali kepadanya, sehingga Al Rasyid menangis mendengarnya, lalu memberi beliau hadiah dan harta yang banyak.

Imam Syafie pernah berkata, ?Siapa mempelajari Al Quran akan tinggilah ilmunya. Siapa yang menulis hadis, kuatlah alasan pendapatnya. Siapa yang suka membicarakan hukum fiqh akan menjadi orang pintar akalnya.? Siapa yang memperhatikan budi pekertinya akan menjadi orang yang baik dan halus. Siapa yang banyak berhitung dan mempelajari ilmu matematik, pemikirannya akan berkembang. Dan siapa yang tidak menjaga kehormatan dirinya, ilmunya tidak akan berguna sama sekali.?

Sebagai seorang ulama besar sebagaimana halnya dengan Imam Malik, Imam Syafie juga mempunyai murid yang ramai dan antaranya juga muncul sebagai ulama terkenal. Salah seorang murid beliau yang termasyhur ialah Ahmad Bin Hanbal. Imam Ahmad Bin Hanbal pernah menyatakan, ?Allah Taala telah memberi kemudahan kepada kami dengan perantaraan Imam Syafie, kami telah mempelajari dan menyalin pendapat berbagai ahli, tetapi ketika kami belajar kepada Imam Syafie ternyata beliau lebih ahli dari semuanya itu. Kerana itu kami selalu mengikuti beliau siang dan malam, dan semua yang kami peroleh dari beliau ternyata baik. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada beliau.? Ahmad Bin Hanbal adalah murid beliau yang terbanyak menghadiri majlis Imam Syafie, As Z?aifarani menyatakan bahawa setiap dia menghadiri majlis Imam Syafie, selalu didapatinya Ahmad Bin Hanbal di majlis tersebut.

Ketika berada di Mekah, Imam Syafie telah mengajar di Masjidil Haram hingga ramailah orang yang menziarahi tanah suci berkesempatan mendengarkan uraian-uraian beliau. Di sinilah pula Imam Ahmad Bin Hanbal bertemu dan belajar dengan beliau. Selama sembilan tahun beliau mengajar di Mekah selain itu beliau juga memperdalamkan pengetahuan tentang Al Quran, hadis, ijtihad, kaedah-kaedah usul dan kaedah-kaedah fiqh. Pada tahun 195 H, beliau berpindah pula ke Baghdad. Di sebabkan kemashurannya yang meluas dalam Ilmu fiqh, banyaklah ahli di negeri itu yang datang menemui beliau.Di sinilah pula beliau menyusun kitab ?Ar-Risalah? yang memuat prinsip-prinsip tentang usul fiqh.

Imam Syafie tinggal di Mesir lebih dari 40 tahun, di mana beliau telah menyusun beberapa buah kitab di antaranya, ?Al Um? yang berisikan hukum-hukum tentang berbagai masalah. Dengan demikian nama beliau terkenal di mana-mana sehingga banyak orang dari Syam, Yaman, Iraq dan lain-lain datang belajar kepada beliau. Di sini pulalah beliau menyusun mazhab baru kerana telah berbezanya situasi dan adat istiadat masyarakat yang dihadapi. Di samping mengajarkan ilmu fiqh, beliau juga mengajar ilmu-ilmu lain. Ar-Rabi? bin Sulaiman pernah mengatakan bahawa Imam Syafie mengadakan majlis pelajaran Al Quran sesudah sembahyang subuh sampai matahari naik, kemudian datang pula ahli hadith menanyakan maksud hadith sampai matahari tinggi, kemudian majlis itu mengadakan muzakarah dan mengulangi pelajaran yang lalu. Sepulang mereka, datang pula ahli-ahli syair dan belajar bahasa dan sastera Arab kepada beliau sampai tengah hari.

Ilmu fiqh yang ditampilkan oleh Imam Syafie banyak menulis dalam zaman perkembangan ilmu fiqh penggabungan antara aliran ?naqli? dengan aliran ?Ra?yi?, menggabungkan antara sunnah dengan ?qias?. Beliau juga menetapkan cara-cara untuk memahami al-Quran dan ?mengistinbatkan? hukum, sehingga beliau berhak di anggap sebagai seorang pendiri ilmu usul fiqh. Maka beliau menyusun mazhab fiqh sendiri setelah mempelajari fiqh. Maka beliau menyusun mazhab fiqh sendiri setelah mempelajari fiqh orang Madinah dan Iraq dari ulama yang ahli dan bermazhab yang bersangkutan sendiri, sehingga di Mesir mazhab beliau berkembang dengan pesat, kerana perubahan-perubahan yang beliau adakan berdasarkan perubahan masyarakat dan alam sekitar. Fiqh Imam Syafie menempatkat Al Quran sumber pertama, dan Sunnah, yang menjelaskan dan mentafsirkan Al Quran, sebagai sumber kedua. Mengenai Sunnah, beliau berkata, ?Apakah ada lagi alasan lain dari tuntutan Rasulullah?...Apabila hadis itu sah, itulah mazhabku.?

Apabila beliau menghadapi sesuatu masalah, beliau mencari hadis dulu untuk dijadikan pedoman. Beliau menasihati rnurid-murid beliau agar meninggalkan pendapat yang beliau ajarkan kalau ternyata berlawanan dengan hadith. Fakhruddin Ar-Razi membayangkan betapa besar peranan Imam Syafie dalam rnenyatukan antara hadis dan pemikiran. Imam Syafie banyak mengetahui hadis Rasulullah s.a.w., cara-cara berdiskusi, mempunyai lidah yang fasih, sehingga dapat mengalahkan ahli fikir yang berusaha menjatuhkan ahli hadith. Imam Syafie juga menjadikan ?ijma? sebagai sumber hukum sesudah Al Quran dan Sunnah dengan beberapa syarat.

Sebelum Imam Syafie membicarakan ilmu usul fiqh, para ahli fiqh mengemukakan dalil-dalil tanpa berdasarkan kepada suatu kaedah umum untuk memperbandingkan antara dalil-dalil untuk memilih yang lebih kuat. Lalu Imam Syafie meletakkan kaedah-kaedah ilmu usul untuk dijadikan petikan dalam memilih dalil-dalil hukum syarak.

Imam Syafie banyak menulis dalam berbagai-bagai cabang ilmu pengetahuan. Menurut sebahagian ahli sejarah, beliau telah menulis 13 buah buku, iaitu dalam bidang usul fiqh, sastera dan lain-lain. Di antara kitab Imam Syafie yang termasyhur juga ialah ?Ar-Risalah? tentang usul Fiqh. Bagaimanapun kitab beliau yang terlengkap dalam ilmu fiqh adalah ?Al Um?

Satu lagi keistimewaan Imam Syahfii ialah memiliki suara yang merdu hinggakan orang menangis mendengar beliau membaca Al Quran. Beliau juga mengetahui ilmu kedoktoran, mahir memanah dan menunggang kuda. Keahliannya dalam bidang sukan tidaklah dapat dinafikan oleh sesiapa pun.Beliau juga mempunyai lidah yang sangat fasih dan iman yang kuat. Ibnu Rahuwaih berkata, ?Beliau adalah ahli pidato, luas pandangan dan mengetahui rahsia kejiwaan.?

Sebagai seorang imam besar, cintanya terhadap kebenaran adalah demikian besar sekali. Di mana sahaja beliau berada, kebenaran tetap dalam perhitungannya. Beliau tidak segan-segan menarik pendapat yang telah dikemukakan kalau memang ternyata salah, atau ada pendapat lain yang lebih kuat. Kerana itu dalam fiqh beliau, kita dapati ada dua mazhab, ?Al Qadim? (yang lama) dan ?Al Jadid? (yang baru). Beliau menjauhi maksiat dan hal-hal yang tidak baik, kerana selalu ingat kepada nasihat Imam Malik kepadanya yang berbunyi, ?Wahai Muhammad, Allah telah memasukkan Nur ke dalam hati engkau.. Kerana itu janganlah engkau kotori akan diberiNya sesuatu.? Demikian juga nasihat guru beliau Waki? bin Jarrah. Berkata Imam Syafie:

Aku mengadu kepada Waki? tentang sulitnya menghafal pelajaran. Beliau memberitahuku supaya meninggalkan maksiat. Beliau mengatakan bahawa ilmu itu adalah cahaya dan cahaya Allah tidak akan ditunjukkan kepada orang yang berbuat dosa.? Guru-guru Imam Syafie di Mekah pernah menyatakan bahawa mereka tidak pernah menemui kebodohan pada diri Imam Malik. Imam Syafie sangat banyak melakukan solat tahajjud di malam hari. Beliau membahagikan waktu malam kepada tiga bahagian,sepertiga untuk menulis, sepertiga untuk solat tahajjud dan sepertiga untuk tidur.

Namun ketika di usia senja, Imam Syafie sering menderita sakit dalam hidupnya seperti bawasir yang banyak mengeluarkan darah sehingga penyakit ini pulalah yang mengakhiri hayat beliau. Beliau meninggal dunia di Mesir pada malam Khamis akhir bulan Rejab tahun 204 H, dalam usia 54 tahun. Jenazah beliau telah dikebumikan di sebelah barat Al Khanda dekat kuburan Zahrah, sehingga tempat tersebut termasyhur sebagai bukti kebesaran beliau.

Inilah role-model zaman kegemilangan Islam yang boleh dinobatkan sebagai towering personaliti yang hebat dalam semua aspek ilmu pengetahuan. Oleh itu, dengan gagasan Islam Hadhari dapat menyuntik semangat baru kepada Shababul Islam untuk melahirkan 1000 lagi Imam Syafie di akhir zaman ini.







No comments:

Post a Comment